Nafkah Dalam Institusi Perkahwinan


1. Definisi dan dalil nafkah

Nafkah dari segi bahasa bererti mengeluarkan dan membelanjakan. Manakala dari segi istilah pula bermaksud mengeluarkan belanja kepada mereka yang wajib atas seseorang untuk membiayainya (al sharbini 1958). Fuqaha‟ sependapat bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isterinya (Ibn Qudamah). Manakala, wanita yang telah bercerai pula pada asasnya berhak mendapat nafkah dalam masa iddahnya daripada bekas suaminya berdasarkan kepada beberapa syarat. Nafkah yang dimaksudkan tersebut adalah merangkumi makanan, pakaian, dan tempat tinggal (al jazairi 1979).

2. Jenis-jenis nafkah

Islam telah menegaskan di dalam al quran tentang kepentingan dan tangggungjawab sebagai suami atau pun isteri bagi melaksanakan nafkah masing-masing. Walaubagaimanapun, di dalam sesebuah perkahwinan suami menggalas tanggungjawab yang lebih besar dalam pemberian nafkah. Ini selari dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Menurut Bahiyah Ahmad (2015), terdapat tujuh item-item nafkah seorang isteri iaitu :
i. Makanan
ii. Pakaian
iii. Tempat tinggal
iv. Upah penyususan untuk isteri
v. Nafkah atau upah bagi pembantu isteri
vi. Perabot/ Perkakasan rumah/ Pembersihan dan Perdandanan diri
vii. Perubatan

Manakala nafkah anak pula menurut Bahiyah
i. Penyususan
ii. Makanan
iii. Pakaian
iv. Tempat tinggal
v. Pendidikan
vi. Perubatan

Menurut mahkamah syariah wilayah persekutuan, terdapat tiga nafkah yang boleh dituntut oleh pihak isteri setelah berlakunya perceraian iaitu nafkah iddah, nafkah anak dan tunggakan nafkah.

Nafkah iddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh eddah raji’e disebabkan sesuatu penceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syara’. Manakala Nafkah anak ialah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain. Nafkah Anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya. Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana Mahkamah Syariah.

3. Faktor Pengabaian dan pencuaian pemberian nafkah

Salah satu punca kepada berlakunya kes perceraian di Malaysia adalah disebabkan oleh pengabaian pemberian nafkah daripada kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri. Bukan sahaja memnyebabkan perceraian malah turut memberi kesan kepada individu yang rapat dengan mereka. Sebagai contoh, anak akan terkesan dengan pengabaian ini secara tidak langsung memberi kesan daripada dua aspek iaitu metal dan fizikal. Dari sudut mental, anak tersebut akan berasa tertekan terhadap perceraian ini yang mendorong mereka ke arah depresi atau kemurungan. Manakala dari sudut fizikal pula, anak- tersebut akan terabai dalam pendidikan kerana tiada kewangan bagi menampung mereka. Bertitik tolak kepada kesan ini, terdapat empat faktor yang dilihat menjadi penyumbang terbesar kepada berlakunya pengabaian dalam memberikan nafkah iaitu :

I. Masalah kewangan dalam perhubungan.
II. Kurangnya pengetahuan agama
III. Meninggalkan isteri tanpa sebarang berita

Berdasarkan tiga faktor ini, maka huraian selanjutkan akan menyokong bagi kenyataan terbabit. Ini bertujuan melihat keutuhan faktor tersebut yang menjadi faktor utama kepada pengabaian pemberian nafkah dalam sesebuah keluarga.

a. Masalah Kewangan Dalam Perhubungan.

Walaupun pada umumnya faktor perceraian hampir sama dengan negeri-negeri lain, tetapi kadar perceraian dan faktor-faktor utama yang berlaku adalah berbeza bagi setiap negeri. Alasan-alasan yang dibuat sebenarnya tidak banyak berbeza dengan kajian yang dijalankan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di mana terdapat lebih kurang 84 sebab-sebab yang dianggap penting berlakunya perceraian (Sulaiman 1995: 203-210). Statistik penceraian di negara ini ternyata tidak banyak berubah pada era 1990-an hingga dekad ini. Satu kajian ilmiah pernah dibuat pada dekad 1990-an untuk melihat sejauh mana benarnya faktor kedudukan kewangan keluarga menjadi punca perceraian di Malaysia. Kajian terbabit dibuat oleh lima orang penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan.

Kajian itu lebih memberikan fokus kepada pasangan Melayu. Kajian turut melihat sama ada faktor pendapatan tetap dan pendapatan tidak tetap memberikan kesan kepada punca sesuatu perceraian. Skop kajian berkenaan tertumpu kepada perceraian pasangan Melayu di seluruh jajahan di Kelantan bagi tempoh enam tahun, iaitu dari 1993 hingga 1998. Hasil kajian itu mendapati bahawa faktor pendapatan memang mempunyai hubungan rapat dengan kadar perceraian. Pengkaji menemui fakta bahawa golongan berpendapatan rendah paling banyak terlibat dalam perceraian. Kajian tersebut sengaja memilih Kelantan kerana dua faktor; pertama, Kelantan antara negeri paling tinggi kadar perceraian di negara ini; kedua, Kelantan ialah negeri paling banyak didiami orang Melayu (Masnah 2002).

b. Kurangnya Pengetahuan Agama

Terdapat peningkatan kadar perceraian di Perlis, Pulau Pinang dan Perak tetapi di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan terdapat penurunan kadar perceraian. Negeri lain, kadar perceraian adalah stabil. Majoriti perceraian berlaku di rumah (74.9%) dan sebab utama perceraian adalah bersangkut paut dengan kekurangan pengetahuan agama mengenai peranan ahli keluarga dan status sosioekonomi yang rendah. Hasil penelitian penulis, kajian yang dibuat hanya tertumpu di beberapa buah negeri sahaja seperti Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Wilayah Persekutuan, Sabah, Perak, Kedah dan Selangor sahaja.

Terdapat satu kajian mengenai salah satu daerah di Negeri Kedah yang ditulis oleh Zurina Abd. Hamid pada tahun 1988 yang bertajuk “Perceraian Satu Kajian Mengenai Sebab-sebab Berlakunya di Daerah Kuala Muda Kedah”. Kajian tersebut dijalankan bagi mencari sebab-sebab berlakunya perceraian bagi pasangan suami isteri di daerah Kuala Muda. Selain itu, kajian ini menyatakan latar belakang tempat kajian dan kadar perceraian yang berlaku di kawasan sana. Antara sebab perceraian adalah disebabkan faktor pendapatan keluarga yang membawa kepada pengabaian nafkah oleh suami. Selain itu kerana campur tangan pihak ketiga. Menurut penelitian penulis, kajian ini bersifat kajian lapangan di salah satu daerah di Kedah.

Jadual di atas menunjukkan terdapat 10 jenis aduan oleh pihak isteri atas beberapa sikap dan tindakan suami yang akhirnya mencetuskan permasalahan dalam rumah tangga. Antara aduan yang paling banyak dikemukakan ialah tentang kegagalan suami memberi nafkah kepada isteri sama ada nafkah sara hidup atau nafkah batin iaitu sebanyak 242 aduan. Terdapat hanya 32 aduan yang melibatkan kegagalan memberikan nafkah batin dan selebihnya ialah kegagalan memberikan nafkah zahir. Kebanyakan keskes kegagalan memberikan nafkah adalah melibatkan si suami yang meninggalkan isteri, si suami yang jarang pulang ke rumah, si suami yang tidak bekerja atau telah menghilangkan diri. Sesuatu yang perlu diketahui kepada setiap pasangan bahawa tanggungjawab pemberian nafkah adalah di bawah bidang kuasa pihak suami. Si suami tidak boleh mengabaikannya begitu sahaja. Kegagalan pihak suami memberi nafkah akan menyebabkan kehidupan rumah tangga mereka menjadi kucar kacir. Selain itu, si suami yang mengabaikan tanggungjawab agama dan meminum arak juga menyumbang kepada permasalahan rumah tangga, ini kerana mabuk dan kejahilan dalam agama menyebabkan si isteri sentiasa dipukul dan dianiayai oleh pihak suami. Sebanyak 18 aduan telah dibuat terhadap pihak suami yang mengabaikan tanggungjawab agama dan mabuk akibat minuman keras. Di sini, yang dimaksudkan dengan pengabaian tanggungjawab agama ialah pihak suami tidak memberi didikan agama kepada isteri dan anak-anak serta membuat sesuatu yang dilarang dalam agama seperti berjudi dan minum arak di hadapan anak isteri (Abe Suhpian 2014).


c. Meninggalkan Isteri Tanpa Sebarang Berita.

Puan Sabariah Binti Baharum (1989) pula dalam tesis beliau yang bertajuk “Masalah Perceraian di Kalangan Masyarakat Islam di Sabah: Satu Kajian di Daerah Tawau”, membincangkan tentang perceraian yang berlaku di kalangan masyarakat Islam di Daerah Tawau, Sabah. Antara aspek yang dikaji ialah bahawa penulis ingin mencari punca perceraian, kadar dan bilangan perceraian yang berlaku di mahkamah. Selain itu, kesan-kesan daripada perceraian serta langkah bagi mengatasi masalah perceraian masyarakat Islam di Tawau, Sabah. Penulis melihat kajian ini lebih memfokuskan kepada permasalahan cerai yang berlaku di salah satu daerah di Sabah. Antara permasalahan yang berlaku ialah pengabaian tanggungjawab dan suami meninggalkan isteri tanpa berita. Permasalahan dan kadar perceraian ini mungkin berbeza berbanding tempat lain.


4. Implikasi undang-undang keluarga islam di malaysia dalam pengendalian kes tuntutan nafkah

Undang-undang keluarga islam di malaysia bermaksud undang-undang yang diperuntukan tentang hal-hal yang berkaitan dengan perkahwinan, perceraian dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kedua-duanya dikalangan orang islam. Setiap negeri di Malaysia mempunyai undang-undang keluarga islam tersendiri yang terpakai di negeri berkenaan sahaja. Undang-undang tersebut ditadbir oleh enakmen pentadbiran hukum syarak atau enakmen undang-undang islam di negeri masing-masing.

Perkataan “hak dari sudut bahasa bermaksud kuasa atas sesuatu atau kuasa untuk membuat sesuatu (Kamus Dewan). Manakala dari segi istilah pula, menurut Profesor Mustafa alZarqa‟ hak merupakan bidang kuasa atau juridiksi yang dengannya diakui oleh syarak sebagai mempunyai suatu kekuasaan atau tanggungjawab (taklīf) yang mana merangkumi seluruh hak agama (Mohd Khairul 2014).  

Hak dalam Islam merupakan kurniaan Allah S.W.T yang bersandarkan kepada sumber-sumber hukum syarak. Islam adalah agama yang adil dan memberi jaminan bahawa setiap individu dalam masyarakat tidak akan dizalimi serta hak-hak mereka terpelihara. Dalam konteks pembubaran perkahwinan, golongan wanita diberi pembelaan oleh Allah S.W.T, boleh menuntut hak-hak mereka selepas berlakunya perceraian sebagaimana yang telah digariskan oleh syarak.

Menurut Mohd Khairul (2002), hak-hak yang diberikan itu ialah hak terhadap mahar, hak nafkah iddah, hak mut‟ah, hak harta sepencarian dan hak hadhanah.

Bertitik tolak daripada itu, satu daripada hak isteri ialah hak nafkah iddah. Nafkah dari segi bahasa bererti mengeluarkan dan membelanjakan. Manakala dari segi istilah pula bermaksud mengeluarkan belanja kepada mereka yang wajib atas seseorang untuk membiayainya (al sharbini 1958). Fuqaha‟ sependapat bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isterinya (Ibn Qudamah). Manakala, wanita yang telah bercerai pula pada asasnya berhak mendapat nafkah dalam masa iddahnya daripada bekas suaminya berdasarkan kepada beberapa syarat. Nafkah yang dimaksudkan tersebut adalah merangkumi makanan, pakaian, dan tempat tinggal (al jazairi 1979). 

Hal demikian adalah sebagaimana Firman Allah S.W.T: Al-Ṭalāq 65:6 Maksudnya:
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

Hak Nafkah Iddah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan iddah itu sendiri iaitu sama ada „iddah raj‟ī, „iddah bāin atau iddah kematian suami. Para fuqaha‟ sependapat bahawa isteri yang berada dalam „iddah raj‟ī berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterimanya sewaktu dalam perkahwinan kecuali jika dia diceraikan disebabkan nusyuz (Nawawi t.th).

Fuqaha‟ juga sependapat bahawa perempuan yang berada dalam „iddah bāin dan mengandung mendapat hak nafkah termasuk tempat tinggal. Hal demikian adalah berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Ṭalāq 65:6 Maksudnya:

“Dan jika mereka (isteri yang diceraikan) dalam keadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya...”

Namun, fuqaha‟ berbeza pendapat berkaitan nafkah iddah bagi perempuan yang berada dalam „iddah bāin dan mengandung serta kematian suami. Mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa perempuan tersebut tidak berhak mendapat nafkah iddah. Berbeza dengan Mazhab Habali yang berpendapat perempuan tersebut berhak mendapat nafkah iddah (Fauzi Muhamad 1998). 

Fuqaha‟ juga berbeza pendapat berkenaan hak nafkah iddah bagi perempuan yang berada dalam „iddah bāin dan tidak mengandung. Menurut Mazhab Maliki dan Syafie, perempuan tersebut hanya berhak mendapat hak tempat tinggal sehingga tamat tempoh iddahnya kecuali jika dia diceraikan daripada nikah fasid, nikah syubhah atau diceraikan kerana nusyuz (Zaini Nasohah 2002).

Perkara tersebut sebagaimana Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Ṭalāq 65:7 Maksudnya:

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.”

Kesimpulannya, nafkah merupakan salah satu daripada tanggungjawab bagi kedua-dua pihak sama ada suami mahupun isteri. Nafkah bukan sahaja berperanan sebagai keperluan dari sudut material semata-mata malah turut berkait rapat dengan keperluan sebagai insan agar selari dengan fitrah yang sebenar. Justeru itu, pengabaian kepada nafkah bukan sahaja mewujudkan persengketaan antara kedua-dua pihak bahkan boleh membawa kepada penceraian. Sebagai umat islam, kita seharusnya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh tanggungjawab agar dapat membawa kepada kesejahteraan hidup.


Rujukan

Al-Quran

Kamus Dewan

Sulaiman Endut. 1995. Perceraian – Punca Dan Penyelesaiannya. Prosiding Seminar Kebangsaan Gejala Sosial, 203-210

Masnah Mohd Zain, Mohd Zaki Zakaria, Norhayati Samba Mohamed, Roslina Salwani Shukri & Wan Murshida Wan Hashim. 2002. Kesan Pendapatan Ke Atas Kadar Perceraian Di Kalangan Masyarakat Melayu Di Kelantan. Kelantan: Uitm.

Abe Sohpian Abdul Rahman, Zuliza Mohd Kusrin, Anwar Fakhri Omar. 2014. Faktor Perceraian Di Mahkamah Syariah Bahagian Mukah, Sarawak Dari Tahun 2000 Hingga 2010. Islammiyyat 36(1) 2014: 5 - 20. Bangi Selangor : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zurina Abd. Hamid. 1988. Perceraian Satu Kajian Mengenai Sebab-Sebab Berlakunya Di Daerah Kuala Muda Kedah. t.Tp.: t.Pt.

Sabariah Binti Baharum. 1989. Masalah Perceraian Di Kalangan Masyarakat Islam Di Sabah: Satu Kajian Di Daerah Tawau. t.Tp.: t.Pt.

Mohd Zini Yahya, Zamri Abdul Rahim, Afandi Sahi. 2003. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Muhd. Fauzi Muhammad. Undang-Undang Keluarga Islam. Kajang: Synergymate. Sdn Bhd, 1998.

Mohd Khairul Anuar Ismail.2014. Kefahaman Wanita Terhadap Peruntukan Hak Selepas Bercerai Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6/2002: Kajian Di Kota Bharu. Kuala Lumpur : Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Jazairi, Abu Bakar Jabir Al-. Minhaj Al-Muslim. Kaherah: Maktabah Al-Kuliyyat Alaẓhariyyah, 1979.

Nawawi, Abu Zakariyya Yaḥya Bin Yusuf  Al-. Minhaj Al-Talibin. Al-Ṭab„Ah Almiṣriyyah, t.tp.

Zaini Nasohah. Perceraian: Hak Wanita Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2002.

Bahiyah Ahmad. 2015. Penentuan Kriteria Kifayah Dan Ma’Ruf Nafkah Isteri Dan Anak Di Malaysia. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Comments

Popular posts from this blog

Lao Tzu - Ahli Falsafah Cina

Yufaqihu Fii Al-Din

Qisas dalam Undang-Undang Jenayah Islam