Qisas dalam Undang-Undang Jenayah Islam
Perundangan Islam ialah satu sistem perundangan yang matlamatnya untuk mencapai asas kemaslahatan dalam kehidupan yang bersumberkan ketetapan oleh Allah s.w.t. dan rasul Nya s.a.w. dan implementasinya menurut kesesuaian dan kemaslahatan semasa, melalui mekanisme ijtihad dan ijmak. Ianya merupakan sebahagian daripada elemen yang membentuk syariah Islam yang luas.
Al-Mawardi mendefinisikan jenayah atau jarimah sebagai “larangan syarak yang dicegah oleh Allah dengan (hukuman) had atau takzir”. Perundangan jenayah Islam meliputi kesemua kesalahan-kesalahan jenayah dalam Islam, hukuman terhadap kesalahan jenayah tersebut serta kaedah perbicaraan dan pembuktian bagi setiap kesalahan jenayah yang ditetapkan.
Dalam hal ini, kesalahan jenayah Islam berbeza daripada kesalahan jenayah konvensional. Penggunaan istilah “jenayah” dalam konsepnya yang umum tidak begitu popular dikalangan para fuqaha’ klasik Islam. Mereka lebih biasa menggunakan istilah-istilah yang lebih khusus, iaitu hudud, qisas dan takzir secara terpisah. Dengan kata lain, mereka kurang menggunakan istilah “kesalahan jenayah” secara umum tetapi sebaliknya menggunakan istilah lebih terperinci dengan memecahkan konsep “jenayah” itu kepada tiga komponen yang lebih kecil (Mohd Mustaffa 2015), iaitu:
i. kesalahan hudud.
ii. kesalahan qisas.
iii. kesalahan takzir.
Justeru itu, kertas kerja ini akan membicangkan secara terperinci salah satu daripada kesalahan jenayah di atas iaitu Qisas. Kertas ini akan membincang tiga aspek iaitu konsep qisas, hikmah pensyariatan qisas dan fenomena pelaksaan hukum qisas di Malaysia.
1. Definisi qisas, hukum dan dalil
Qisas dari sudut bahasa bermaksud memotong. Manakala dari sudut syara’ ialah hukuman balas bagi kesalahan membunuh dibalas dengan bunuh, menghilangkan salah satu dari anggota orang lain atau melukakannya atau mencederakannya dibalas dengan hukuman mengikut jenis kesalahan yang dilakukannya. Firman Allah s.w.t. berkenaan qisas:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita” (AlBaqarah: 178)
Mengikut para fuqaha, kesalahan qisas adalah kesalahan terhadap nyawa dan tubuh badan manusia. Secara ringkasnya ia boleh dikategorikan sebagai berikut:
I. Kesalahan terhadap nyawa, iaitu membunuh.
II. Kesalahan terhadap tubuh badan, iaitu meluka atau mencederakan.
Kesalahan terhadap nyawa daripada satu aspek dan tubuh badan daripada satu aspek yang lain, iaitu kesalahan terhadap anak dalam kandungan. Di samping itu, ada satu hukuman lain bagi kesalahan seperti ini, iaitu diyat. Ia adalah hukuman alternatif apabila hukuman qisas tidak boleh dilaksanakan oleh sebab-sebab tertentu, seperti apabila jenayah itu sendiri berlaku tidak sengaja atau separa sengaja, ataupun apabila hukuman qisas tidak dapat dilaksanakan oleh sebab-sebab teknikal, seperti berlaku percanggahan dalam pembuktian atau timbul keraguan di antara keterangan pelaku dan mangsa, atau semata-mata kerana pihak mangsa tidak mahu melaksanakan qisas dan memilih diyat sebagai ganti (Mohd Mustaffa, 2015).
Hukum qisas
Qisas ialah situasi penjenayah menerima hukuman sepertimana perbuatannya iaitu sekiranya membunuh penjenayah tersebut akan turut dihukum bunuh (Abdul Qadir Audah, 1968/1388). Hal ini adalah seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud
“ Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu qisas berkenaan orang-orang yang dibunuh: orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan (pengampunan) dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikut dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik. Yang demikian itu adalah satu keringanan dari tuhan kamu dan satu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya seksa yang amat pedih” (al-Baqarah 2:78).
Dalil qisas
Qisas disyariatkan dalam al-Qur'an dan Sunnah. Di antara dalil dari al-Qur'an adalah firman Allah
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Rabbmu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih dan dalam qishash itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa. (QS. al-Baqarah[2]:178-179)
Menerusi hadis pula, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
Siapa yang menjadi keluarga korban terbunuh maka ia memilih dua pilihan, bisa memilih diyat dan bisa qishash (balas bunuh). (HR al-Jama'ah) Sedangkan dalam riwayat at-Tirmidzi dengan lafazh: Siapa yang menjadi keluarga korban terbunuh maka ia mempunyai dua pilihan, bisa memilih memaafkannya atau bisa membunuhnya.5 Ayat dan hadits di atas menunjukkan wali (keluarga) korban pembunuhan dengan sengaja memiliki pilihan untuk membunuh pelaku tersebut (qishash) bila menghendakinya, bila tidak, bisa memilih diyat dan pengampunan. Pada asalnya pengampunan lebih utama, selama tidak mengantar kepada mafsadat (kerusakan) atau ada kemashlahatan lainnya.
Falsafah di sebalik pensyariatan qisas
Setiap ketetapan perundangan dan peraturan yang disyariatkan Allah kepada umat manusia tidak didatangkan dengan sia-sia, bahkan semuanya membawa kebaikan dan menghasilkan manfaat kepada kehidupan manusia sejagat. Hikmah daripada pelaksanaan undang-undang jenayah dalam Islam ialah untuk menegah dan menahan manusia daripada mendekati kesalahan-kesalahan tersebut, memelihara masyarakat daripada kefasikan dan menyucikan daripada dosa dan noda.
Menurut Ibn Taymiyyah, di antara rahmat Allah S.W.T. ialah mensyari'atkan hukuman jenayah yang berlaku antara manusia, sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain pada jiwa, tubuh badan, harta benda, kehormatan, pembunuhan, pencederaan, menuduh zina (qazaf), mencuri. Maka Allah S.W.T. telah menghukum bentuk-bentuk tegahan untuk menahan daripada melakukan jenayah yang merupakan matlamat hukum dan mensyari'atkan hukuman dalam bentuk yang sebaik-baiknya, yang mengandungi kemaslahatan, tegahan dan pembasmian, di samping tidak melampaui kadar yang sepatutnya ditanggung oleh penjenayah daripada tegahan itu.
Oleh sebab itu, Allah S.W.T. tidak mensyari'atkan hukuman berbohong dengan memotong lidah dan tidak pula dibunuh, hukuman berzina tidak pula disembelih, hukuman mencuri tidak pula dibunuh. Sebaliknya Allah S.W.T. mensyari'atkan kepada mereka tentang hukuman tersebut dengan memastikan nama dan sifatnva termasuk dalam hikmat dan rahmatNya, kelembutan, keihsanan dan keadilan-Nya agar menghilangkan bala atau celaka dan melenyapkan kezaliman dan permusuhan, dan semua insan berpuas hati dengan apa yang dikurniakan oleh Malik dan Khaliqnya. Dengan itu manusia tidak sewenang-wenangnya merampas hak orang lain.
Perundangan Islam dirangka berdasarkan prinsip serta asas yang jelas iaitu melindungi masyarakat daripada perbuatan keji serta menjamin hak-hak individu ataupun masyarakat. Prinsip asas perundangan Islam adalah untuk memelihara kepentingan dan menolak kerosakan agar terjamin keselamatan individu dan masyarakat. Matlamat asas perundangan Islam adalah untuk memelihara dan menjaga lima perkara dasar dalam kehidupan manusia iaitu:
1. menjaga kesucian Islam
2. menjaga nyawa
3. menjaga akal fikiran
4. menjaga nasab dan maruah
5. Menjaga harta benda
3. Pelaksanaan hukum qisas di malaysia
Perundangan Islam di Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu telah lama berakar umbi. Banyak bukti-bukti sejarah dan kesan pengamalan yang nyata dilihat dalam praktis kehidupan masyarakat Melayu. Kenyataan paling awal tentang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia ialah catatan di batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang Terengganu dalam tahun 1898 M. Inskripsi tersebut bertarikh pada 17 Rejab 702H, iaitu bersamaan dengan 22 Febuari 1303M. Catatan tersebut ialah mengenai kesalahan dan hukuman terhadap jenayah zina. Ia menyatakan:
“Orang berbuat balacara lelaki perempuan setitik; Dewata Mulia Raya jika mereka bujang palu; seratus rotan. Jika mereka merdeka beristeri; atau perempuan bersuami ditanam hinggakan; pinggang dikembalang dengan batu matikan” (Mohd Mustaffa 2015).
Meskipun tidak ada catatan lain yang boleh memberi kenyataan tentang pelaksanaan sebenar undang-undang zina tersebut dalam masyarakat pada waktu itu, namun boleh diandaikan ia telah dilaksanakan. Kerana kenyataan yang menunjukkan ianya tidak dilaksanakan juga tidak ada.
Hukuman qisas menjadi hak kepada mangsa itu sendiri, sekiranya dia seorang yang sudah dewasa, akil dan baligh. Jika mangsa itu masih kecil atau gila, hak itu jatuh kepada walinya. Pandangan ini menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Manakala menurut Imam Syafie pula, penjaga atau wali kanak-kanak dan orang gila tidak menjadi pemilik hak qisas, sebaliknya pelaksanaan qisas akan ditangguhkan sehingga kanak-kanak itu besar dan orang gila itu kembali siuman (Paizah Ismail 2008: 156).
Walau bagaimanapun, sekiranya mangsa atau keluarganya memberi pengampunan terhadap penjenayah, maka pelaksanaan hukuman itu telah gugur dan hanya dikehendaki untuk membayar diyat. Diyat tidak perlu diberikan sekiranya tidak dituntut oleh keluarga mangsa (Hashim bin Mehat 1977). Pelaksanaan hukuman qisas adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada individu lain agar menjauhi perbuatan tersebut dan bukannya berbentuk kezaliman terhadap penjenayah.
Hal ini telah dinyatakan oleh Ibn Humam (1316H): “Seksaan menjadi pencegah (mawani‘) sebelum melakukan jenayah, dan menjadi deraan (zawajir) selepas melakukannya, iaitu dengan mengetahui penguatkuasaan seksaan itu menghalangnya daripada melakukan jenayah itu, atau bila dikenakan seksaan selepas melakukan jenayah, dapat menghalangnya daripada mengulangi perbuatan itu.
Oleh sebab itu, cara untuk melaksanakan hukuman qisas turut meletakkan keadaan fizikal serta faktor persekitaran sebagai faktor perbincangan sekiranya pelaksanaan hukuman itu hendak di buat. Antara faktor tersebut adalah keadaan fizikal penjenayah mestilah sihat dan tidak mengandung (Paizah Ismail 2008: 156). Sekiranya penjenayah tersebut mengandung hukuman hendaklah ditangguhkan. Faktor persekitaran seperti tidak terlalu sejuk dan panas turut menjadi aspek yang perlu diteliti. Hal ini adalah untuk mengelakkan mudarat terhadap tubuh badan penjenayah.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan mengenai qisas di atas, dapat disimpulkan bahawa hukuman qisas dijalankan apabila seseorang penjenayah itu telah mencukupi syarat-syarat yang membolehkan dia disabitkan dengan jenayah qisas. Namun begitu seseorang yang tidak mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan bukan bererti dia terlepas daripada hukuman qisas tetapi dikenakan pembayaran diyat dan takzir yang ditetapkan oleh hakim. Ini menunjukkan bahawa hukuman qisas yang dilaksanakan dapat membendung dan menghalang jenayah qisas daripada berleluasa. Walau bagaimanapun, hukuman qisas tidak dilaksanakan di Malaysia, akan tetapi jenayah-jenayah qisas seperti kecederaan akan dikenakan hukuman tort iaitu bayaran ganti rugi terhadap kecederaan yang dilakukan oleh penjenayah. Oleh itu, kami mencadangkan supaya pihak kerajaan dapat melaksanakan hukuman yang berlandaskan hukum syarak yang mana jelas menunjukkan hukuman tersebut yang telah ditetapkan tidak akan menyeksa pesalah sebagaimana hukuman sivil. Sehubungan dengan itu, kami mengharapkan pihak kerajaan dapat menggubal undang-undang jenayah syariah secara keseluruhannya. Malah pihak mahkamah syariah dan mufti dapat memainkan peranan dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut ke atas jenayah yang berlaku.
RUJUKAN
Al-Quran
Abdul Qadir ‘Audah, At-Tasyri’ Al-Jinaiy Al-Islami, muqorinan bi Al-Qanun AlWad’I, Beirut, Dar Al-Kitab Al-Ghazaly
Hashim bin Mehat. 1977. Kajian perbandingan antara undang-undang jenayah Malaysia dengan undang-undang jenayah Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad bin „Abd al-Wahid al-Siwasi al-Sakandari. 1316H. Sharh Fath al-Qadir. Mesir: Maktabat alKubra al-Amiriyyah.
Mohd Mustaffa Jusoh. 2015. Perundangan Jenayah Islam; Cabaran Dan Realiti. Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015.
Paizah Hj Ismail. 2008. Undang-undang Jenayah Islam : Angkatan belia islam Malaysia.
Comments
Post a Comment